Tuesday, April 20, 2021

Salam Ramadan 1442H

 Assalamualaikum w.b.t

Diam tak diam, dah nak habis 10 Ramadan tahun nih. Hari ni masuk 8 Ramadan dah.

8 Ramadan 1442H, @Masjid Bandar Mas, Kota Tinggi

Didoakan semoga kita semua dilimpahi kesihatan, kurnia dan rahmat oleh Allah untuk terus beribadah, diterima amalan berlipat kali ganda hendaknya. Ameen...


Ya ALLAH, temukanlah kami dengan malam Lailatul Qadar.

Ya ALLAH, ampunilah dosa-dosa kami...

Ameen Ya Rabb.


Salam Ramadan semua! 

💓cekkeya

Tuesday, March 2, 2021

Bismillah

Bismillah. Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Fuhhh.

Lama sungguh tak menulis di sini.

Saja melepas rindu dengan berkeletak keletuk, menaip secara rawak berkenaan belajar.

Pernah tak dulu dengar patah kata, "Tuntutlah ilmu sampai ke Negara China."?


Sekarang ni, berbaki 3 semester pengajianku sebelum perlu melapor diri. Hampir 2 bulan stuck dengan codes, tak tahu nak gerak ke mana. Teringat zaman sarjana dulu, berperang dengan codes, tapi sekarang kenapa tak serik lagi ek? hahaha


Semoga ALLAH temukan dengan hasilan yang cemerlang, insyaaALLAH.

Doakan ya?


Love, 

cekkeya💗


Friday, December 6, 2019

ALLAH Maha Mengetahui

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
(rasa macam tulis emel pulak) 😂

Di hari Jumaat yang mulia nih, tengah duduk berehat di rumah mertua (berani betul statement gini) hahaha silap-silap, biar kuperbetulkan ayat terdahulu...berehat sebentar setelah rajin-rajin mengemas rumah mertua...

Hari ni tanggal 6 Dis 2019. Genap sebulan rasanya, daku keguguran di usia 9 minggu. Masih teringat bila bangun malam ke tandas, penuh tompok darah yang abnormal. "Eh, bukan ke mengandung? ni darah apa? Dalam kepala, dah ingat gugur. Sedih, takut, kecewa, semua bersatu..."

Bangun kejut suami. Dia istighfar panjang sambil raup muka. Suami suruh kejut mak mertua, tanya dekat mak. Mak pun kata, nak gugur la tu...kalau darah dah penuh macam datang bulan.

Rasa sedih pula kalau kenangkan kembali. Tapi aku sedar, dalam sedih, perlu redha, semua tu ketentuan ALLAH. Kita hanya mampu merancang, tapi ALLAH yang menentukan.

Doktor cakap, "Puan sabar ya, fikir positif insyaaALLAH. Yang penting, puan tahu, puan boleh mengandung, nanti rehat dulu 2,3 bulan. InsyaaALLAH ada rezeki..."

Masa doktor rujuk ke Hospital, macam-macam kes di sana. ALLAH itu MAHA PENYAYANG.

Allah temukan dengan seorang yang nak melahirkan anak ketujuh di usia 34 tahun.

Fast forward, Allah temukan jua dengan seorang adik ni umur 26 tahun, keguguran juga, tapi usia kandungan dah masuk 13 minggu...bleeding, tapi belum gugur sendiri. Bila berborak-borak, katanya, seminggu sebelum dah pernah datang, tapi doktor suruh tunggu gugur sendiri, datang lagi minggu ni, masih belum jatuh sendiri. Doktor bagi masa lagi 2 minggu, kalau tak turun sendiri, kena D&C (cuci rahim).

Aku: "Ni kali pertama ke?"

Adik tu: "Eh tak..ni kedua..."

Aku: "Oh, dah ada anak la ya?"

Adik tu: "Yang sebelum ni, ektopik. Hamil luar rahim, dapat detect masa minggu ke 12."

Aku: "ALLAHU..."

Adik tu baru je nikah tak sampai setahun, tapi dugaan dia dah bermacam...Allah Maha Penyayang, Allah nak tunjuk, kalau kita rasa kita ni diuji hebat, ada lagi yang terima ujian lagi besar.

Untuk pengetahuan, jika kandungan bawah 12 minggu, dan ada simptom seperti bleeding, dia dinamakan threatened miscarriage. Selalunya, kes begini akan gugur sendiri tanpa perlu melalui D&C kerana kandungan masih terlalu kecil. Apa-apa pun, cepat-cepat rujuk kepada doktor berpengalaman, kerana mereka pastinya lebih tahu dan arif tentang situasi ini.

Macam-macam kes di hospital kerajaan. Ada tu, baru je nikah semalam, hari ni dah mengandung 30minggu. Allah. Ada adik sorang ni, gugur juga, bleeding, datang hospital siap pakai seluar warna putih...dah kena tukar baju hospital pulak bila doktor nak scan...Macam-macam kes yang menduga para doktor dan jururawat. Semoga ALLAH merahmati mereka semua yang bertungkus lumus dalam melakukan ibadah dalam pekerjaan. Ameen Ya Rabb.

Sampai rumah, ada panggil tukang urut sebab badan rasa letih lenguh-lenguh. Akak tu cerita, dia sebelum ni anak dah empat (4), lelaki semua. Bila mengandung anak kelima (5), tahu je mengandung, takdelah nak scan semua sebab dah biasa mengandung. Tup tup, masa dah 4 bulan mengandung, bleeding, gugur. Kena cuci (D&C) sebab kandungan dah besar, tak boleh turun sendiri. Akak tu cerita, dia sedih sangat, sebab doktor kata, nampak macam perempuan...akak tu rasa terkilan sebab tak pernah ada anak perempuan lagi, tapi dia kata, rezeki...Allah bagi anak perempuan pulak lepas 2 tahun keguguran, lepas tu, dapat lagi seorang perempuan.

Baru-baru ni, terjumpa rakan seuniversiti. Belajar kelas yang sama, dalam tunggu giliran untuk presentation, borak-borak dengan dia...entah macam mana boleh terbuka cerita pasal anak, dia dah ada anak seorang, tapi baru-baru ni, dia cerita...dia baru gugur dalam tak sedar. Dah kali ketiga keguguran, kali pertama gugur, kandungan dah dekat 5 bulan. Jari semua dah ada rupa bentuk. Minggu lepas, dia baru buat test, sebab dah tiga kali keguguran, doktor takut ada virus ke macam tu...

Nampak tak? ALLAH Maha Penyayang, Allah Maha Pengasih...

Allah hadirkan insan-insan begini kepadaku, untuk tunjuk, apalah sangat dugaan ini jika dibandingkan dengan orang lain. Daku perlu banyak bersyukur, istighfar, ada sebab kenapa semua ini berlaku.💗

Mana tahu, ALLAH nak bagi rezeki pada kami sekeluarga yang lebih baik di masa mendatang? Sesungguhnya, rasa terharu sangat dengan suami terutamanya, jaga kebajikan daku masa proses berpantang. Mak mertua yang sangat prihatin semasa daku melalui proses keguguran (senggugut teramat sangat), mak siap hulurkan minyak urut, bagi kata-kata semangat. Sungguh, terharu diri ini.

Jadi, di hari Jumaat yang mulia ini, marilah kita bersama-sama mensyukuri segala nikmat ALLAH yang tak terhingga, seperti dikatakan dalam Quran, "Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?." (Ar-Rahmaan 55:13)

Allah juga mengingatkan kita,
فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan”.
[Ash-Syarh: 5-6]
Semua keluarga, rakan taulan yang mendoakan kesihatan, kebaikan buat kami, didoakan yang lebih baik untuk kamu semua. Semoga kita semua sentiasa di bawah lindungan ALLAH SWT, beroleh kebahagiaan dunia dan akhirat. InsyaaALLAH. Ameen Ya Rabb.

Love, 😘
cekkeya

Wednesday, November 20, 2019

Dua Ribu Sembilan Belas

Assalamualaikum dunia! (kahkahkah bajet gilaaa)

Melihat posting lama-lama, rasa terpanggil untuk menulis (baca: menaip). Posting sebelum nih, tahun 2017. Ini pun dah lebih kurang sebulan nak masuk 2020 sebelum menyaksikan kereta terbang.

Well, its better late than never. Kan???

Ada banyak benda nak kongsi sebenarnya. Tunggulah, insyaaALLAH. Sekarang nih tengah pulun siapkan sesuatu yang perlu dihantar minggu depan. Kehidupan sekarang dah jadi pelajar semula, pelbagai cerita semuanya. 😁

Sampai nanti,
Love💗

Thursday, February 9, 2017

Apa erti RINDU?

Baru - baru ni, bila rasa bosan tak tahu nak buat kerja yang mana satu, (baca: malas) pergi mengada call sana sini menghilang rindu di hati. agituuuuu (walhal panggilan percuma ke seluruh telco tapi berapa minit sangat lah guna untuk panggilan. zaman berubah - panggilan dipandang sebelah mata, tapi internet perlukan ber kuota-kuota)

Dipendekkan cerita, bila telefon akak, nak cakap dengan anak sedara berumur 5 tahun.

Aku: Iyman buat apa?
Iyman: Tak buat apa
Aku: Iyman bila nak balik sini...?
Iyman: Emmmm...minggu depan! (confident sangat)
Aku: Oh yekeeee.. Cikyan rinduuuuu la kat iyman...
Iyman: OKKKK!

Comel kannnn bila kita kata rindu kat someone, dia balas okkkkk je. Mungkin anak kecil tak paham erti rindu. hahahha

Apa erti RINDU?

Wednesday, January 18, 2017

Dua Ribu Tujuh Belas

Uihhh mengada. Tulis jelah 2017. Nak eja eja bagai. Sajaaaaaaaaa...

Lama sungguh tak menaip. Ewah ewah, habis tu selalu keletak keletuk dekat meja tu apakah...? Itu kerja rasmi. Lain rasanya dengan menaip benda rambling ni.

Ada banyak sangat benda bermain berlari-lari dekat kepala sekarang ni. Rasa macam nak tangkap setiap perkara yang bermain-main dalam fikiran tu, pastu nak bungkus ikat tepi. Hirup dalam-dalam pastu tarik nafas lega. Hahahah Ingat vape?

Tahun baru masihi ni, didoakan yang baik-baik sahaja datang mendekat. Yang kurang baik, mohon menjauh, mohon dielakkan. 

Macam setiap kali raya kena ada tema baju, setiap kali tahun baru, kena ada azam baru. Tema tahun 2017 ni adalah terbang. Ewah, tema sangat. Terbang sangat. :) Kalau 2016 adalah tahun untuk belajar, tahun 2017 ni adalah tahun mengorak langkah. Kukira begitu lah. Langkah mungkin masih baru lagi, masih bertatih lagi, harapan moga terus melangkah untuk terbang bersama impian yang dicita. Mohon dipermudahkan, Ya Rabb...

Dah lama tak rambling, rasa macam awkward pulak. Sudah... ;)

Nanti sambung ya...InsyaaAllah.
\


Wednesday, September 21, 2016

Bawa Bertenang Sayang

Ewah...tajuk. Kemain lagi

Latar belakang lagu YouTube - Tasha Manshahar & Ernie Zakri (Oh No & Jangan Marah)

Lirik selalu diulang-ulang:
Bawa bertenang sayang...Hence, the title of this post.

Pagi ini. Minggu ini. Banyak benda jadi dengan orang sayang di keliling...buat aku muhasabah diri, buat aku semakin ingat dan sentiasa sedar. Allah MAHA KUASA.

Minggu lepas, salah seorang kakak pembersihan yang bekerja dekat sini -selalu gelak ketawa selalu ceria...kehilangan suami yang boleh dikira secara mengejut. Baru tahu yang arwah suaminya Kanser Hati Tahap 3. Innalillah...

Minggu lepas juga, rumah salah seorang rakan sekerja dimasuki pencuri semasa Hari Raya Aidiladha dan kerugian harta benda lebih kurang RM20K. Allahu.

Pagi ini, kakak yang kehilangan suami tu kembali bekerja seperti biasa. Aku salam berpelukan sambil ucap takziah. Akak tu nangis. Aku jadi sebak. Tak tahu nak cakap apa. Akak kuat InsyaaAllah.

Bawa bertenang Sayang. Allah ada. Allah MAHA MENGETAHUI.

Teringat kata-kata daripada Mufti Ismail Menk..."Don't get frustrated by your trials and hardship. Surely you can't expect life to be one smooth road. It doesn't work that way. Be patient. "

Sekian.

Thursday, August 4, 2016

Dialog Terkejut

Pernah tak kengkadang kita berbual dengan sorang ni...lepas tu macam tengah berbual, ada 1 ayat yang buat kau rasa macam tersentap macam kena kejutan budaya...? hahaha

Alkisah kawan aku sorang ni...dia baru nikah 3 bulan lepas. Jarang dapat borak dengan dia ni sebab jarang jumpa. Bila dapat borak, macam-macam benda nak borak...Kita bagi nama kat dia ni...Puan A la ek...Satu lagi kawan...Cik B

Puan A: Eh ko dah tunang belum? Bila tarikh nak nikah...?

Cik B: dah. tak dapat lagi tarikh.

Puan A: Ko kena cari dulu tarikh, nanti nak tempah pelamin ke. photographer ke. semua nak tengok tarikh. Dapat tarikh ok je...semua tu dah boleh p survey. Ko jangan buat persiapan lambat. Setiap bulan ko p survey. Buat sikit-sikit.

Cik B: Ohhh...tu la kan...nanti aku cuba la dulu

Puan A: Ko p masuk FB. group All About Perkahwinan... nanti dorang promote semua bisnes merata tempat tentang kawen...

Cik B: Ok ok.

Puan A: Ko kena ada EXCEL tau...buat semua perbelanjaan ko. Mana yang dah buat. mana yang belum...

Cik B: Haa...ok ok nanti ko share la dgn aku ko punya sheet. hahaha Dulu masa belum jumpa sapa-sapa, bukan main lagi...sibuk doa cepat dapat jumpa jodoh...ni bila pilih tarikh...rasa macam "oh myyyy...awat cepat sangat pulak...banyak benda tak settle lagi. melambak to do list before you get married belum tercapai. "hahhaha terus rasa tak sedia nak kawen...

Puan A: Tulah...takpe. Preparation je yang lama bab nak kena survey mekap la. survey photographer la. goodie bags la...Nanti yang test dengan isi borang tu ok je...smooth je once tarikh ko dah dapat...

Cik B: Eh...nak tanya ni. apa perasaan ko lepas dah kawen ni...rasa ada beza tak? sebab ko terus duduk sama kan...bukan PJJ

Puan A: tulah betul orang cakap. Kawen ni kena banyak SABAR....macam-macam nanti

Cik B: (SENTAP #1) yeke weh...ni baru ko yang 3 bulan kawen. imagine orang yang kawen dah lama. How SABARRRRR dia punya nasihat....

Puan A: hehehe tapi nasihat aku tu la weh. Tunang jangan lama-lama. Dugaan dia makin lama makin besar.

Cik B: SENTAP #2 (sebab nasihat bertunang jangan lama-lama tu...is like hundred times bergema di gegendang telinga datang daripada orang yang berlainan)

Gulppp...Semoga Cik B dipermudahkan urusan pernikahan. Puan A pulak didoakan kekal bahagia dan saling lengkap melengkapi sesama suami isteri dan moga cepat dikurniakan rezeki anak anak yang soleh dan solehah. Ameen Ya Rabb.

Sekian. Dialog sentap yang tak berapa nak sentap. hahaha ;)

Friday, July 15, 2016

Hati hati

Hati. Heart. Love.

Semua di atas selalu ditafsirkan dalam bentuk gambar yang sama.

Jaga-jaga dengan hati. Hati-hati dengan hati. Bukan senang nak menjaga hati semua orang. Kita hanya mampu berdoa mohon pada Allah, agar hati kita terhindar sifat buruk, agar hati orang lain menilai kita dengan baik...

Siapa yang mampu bercakap soal hati?

Oh...sebenarnya ini adalah random post pukul 3 pagi yang datang daripada menonton cerita korea, "Doctors".

Baru layan episod 3...tapi mata dah bengkak sebab menangis banyak sangat. hahaha Aku percaya, kita mesti ada kawan yang jenis tengok cerita sedih je, mesti nak sebak. Tengok karakter tu happy je, pun boleh jadi sebak. Ini bukan hashtag #mudahterhibur. Ini namanya hashtag #mudahternangis. (T_T)

Teringat dulu-dulu, kalau tengok tv dengan akak dan 2 adik perempuan aku...bila part sedih je...mesti masing-masing tengok dan toleh muka masing-masing pastu end up ketawakan diri masing-masing sebab semua tengah mengalir air mata. I guess that is a solid proof that we're siblings and a blood related. We share the same feeling in the same situation. ahaks

Berbalik pada cerita hati tadi, pernah tak korang makan hati ayam yang digoreng panas-panas? korang rasa macam best je makan hati tu...tapi end up korang rasa pahit macam hempedu. Orang kata hati tu salah potong, sebab tu jadi rasa pahit cenggitu. I guess it is the same with our own heart. Tersalah potong, dia akan jadi tak sedap rasa dia. Kena potong tepat pada bahagian dia, barulah ngam rasanya.

Gituuuuuuuuu...bila cik kiah berpujangga pagi-pagi buta. Walhal esok nak pergi kelas menghadap anak-anak bangsa dengan mata sembap macam tak cool rasanya. hahahha

Sebenarnya lama tak rambling dalam blog sendiri. Alhamdulillah. Puji dan syukur ke hadrat Ilahi, terlalu banyak yang berlaku sejak dua menjak ni yang kalau difikirkan balik...I dont deserve this, but Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Terlalu banyak nikmat yang diberikan pada hambanya, lalu teringat ayat yang sering diulang-ulang dalam surah Ar-Rahman.

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?"

Didoakan semoga kita semua menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur dan mensyukuri segala nikmat kurniaan Allah. Moga kita semua dikurniakan kesihatan yang baik untuk beribadat dan sujud kepada Allah.

Sekian dulu, till then. Assalamualaikum. ;)

Oh. Salam Syawal 1437H. Maaf zahir batin. 0-0 ekkk? ;)



Monday, May 16, 2016

Selamat Hari Guru

Suatu ketika dulu, masa aku darjah 6, di hari "ambik-report-card", arwah Abah yang datang. Masa tu, cikgu kelas merangkap Cikgu Matematikku, Cikgu Khalidi namanya.

Masa tu, aku masih ingat...arwah emak tengah sakit, sebab tu arwah Abah yang datang ambik kad penyata.

Antara kata-kata arwah Abah yang masih aku ingat sampai sekarang,

" Cikgu mintak tolong sangat tengok-tengokkan anak saya ni. Mak dia sakit sekarang. Kalau dapat tengokkan dia, saya berterima kasih sangat cikgu." Walaupun masa tu aku baru darjah 6, aku sangat faham nada arwah Abah. Aku sangat faham pandangan Cikgu Khalidi masa tu...

Sebelum balik tu, arwah Abah bersalam dengan Cikgu Khalidi sambil ulang balik ayat tadi untuk lebih emphasize. ;(

Ya Allah. Terima kasih untuk cikgu-cikgu yang banyak mencurahkan jasa mereka kepada kami semua. Ampunilah dosa cikgu-cikgu kami, berkatilah mereka dan semoga segala tugas amanah mendidik yang mereka lakukan menjadi asbab penyebab kebaikan ke Jannah. Ameen Ya Rabb.


Sunday, May 8, 2016

Cerita Kesukaan

Assalamualaikum and Good Day!

Straight to the point.

"Cerita apa yang kau selalu ulang-ulang tayang yang menjadi kesukaan?"

To be honest, i loveeeeee Pride and Prejudice (Keira Knightley)...oh my...7 times so far?

2. Leap Year (2010)
Errr...4 kali kot setakat ni ulang tayang. ;)

3. The Vow (2012)
Sebab cerita ni sedih...baru 3 kali rasanya

Love, Rosie (2014)



banyak lagi cerita yang selalu diulang tayang, tapi banyak rom-com punya cerita yang selalunya they lived happily ever after...which we don't have it in dunya, accept akhirat in syurga. InsyaaAllah.

Kenapa post ni tetiba tukar switch mode jadi cerita dakwah seakannya? ;) Haha Ramadhan is coming real soon...

"Ya Allah, berkati kami dalam bulan Rejab dan Syaaban ini, sampaikan kami pada Ramadhan dan ampunilah dosa-dosa kami." Ameen Ya Rabb...


Thursday, April 28, 2016

Soalan Kedu

Pernah tak dapat soalan yang buat kita terkedu...Kelu tanpa bicara.

Kita tahu jawapan tu, tapi lidah kelu nak berbahasa. Ecewah...macam dalam sesi temuduga pulak lidah nak kelu tak berbahasa.

Alkisah begini.

Sejak geng badminton berehat dalam sebulan kebelakangan ini, ada la geng berjalan-jalan laju di kaki bukit berdekatan.

To be honest, I am not a kaki-lari punya orang. hahahah tak payah buat pengakuan pun orang tahu dah! ;)

Jadi, to make it the fun-run moment, my jog buddy and I always have a chit chat during the so called not-so-fun-jog.

One day, she did asked me:

"Dalam banyak-banyak tempat, kat dunia ni...mana satu yang teringinnnnnn sangat nak pergi?"

OMG...at that time, I was like, "Oh, oh, oh why I dont have that list? A list to go to? Am I that pathetic? Lidahku kelu tak berbahasa secara tiba-tiba.

Oleh sebab nak bagi otak sendiri berfikir sejenak, aku bagi my jog buddy kongsi dulu senarai tempat yang dia nak pergi. Dia bercerita tentang Aurora, perkampungan Maya (coklat)...which brought me from wow to awesome.

My point is that it is only a simple question, but i simply don't know how to respond eventhough i am certain that i knew the answer. *sigh* ;)

After I made up my mind, the list goes on from Cameron Highland to quotes that i read on Facebook. Hahahaha

"Whattttt? Seriously? Are u sure, u never been to Cameron? I rasa nak bawak u sekarang jugak this weekend pergi Cameron. Yannnnnn...."

Hahahaha But yes, no kidding. Why? she asked me. I also don't know. It just simply that I don't...

Antara lain soalan kedu yang aku terima adalah seperti ....eh eh...tetiba nak berceloteh panjang, walhal tadi rancang nak taip sekejap je.... ahaks

Till then. Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Saturday, March 12, 2016

Hati Keluarga

Bukan typo.

Memang tajuk Hati Keluarga. Bukan Hari.

Alkisah, satu hari ada panggilan telefon daripada seorang senior di tempat kerja. Encik M nama diberi. Profile: 1 tahun lagi nak bersara daripada tempat kerja.

M: Hello...Azyan ye? Macammana nak retrieve daripada portal?

Aku: Oh...pergi dekat sini...lepas tu klik situ, klik sini...

M: Ooo...ok ok...dapat dah...

Aku: Encik M nak buat CDL ek?

M: Tut tut tut...*talian diputuskan*

"What? aku belum habis cakap, En M dah letak telefon. Kot la nak say thanks ke apa..." gumamku sambil berkata pada officemate ku Puan N yang akan bersara lagi 5 tahun...

N: M call u?

Aku: aah...sama macam arwah abah saya. Suka letak phone bila orang tak habis cakap lagi...

N: hahaha...Eh u...biar la, maknanya M anggap u macam family. Tak ada nak jaga-jaga hati bagai. Keluarga kan macam tu, cakap mana fikir nak jaga hati, sebab masing-masing tahu masing-masing macam mana...


See? betul jugak tu at one point. Dah macam norma kehidupan. Dengan keluarga sendiri jarang nak fikir jaga hati perasaan. As if kita semua tahu perasaan masing-masing, tapi, at some point, salah sebenarnya. Hati keluarga lah yang perlu kita jaga, tatang bagai minyak yang penuh. Kena cakap lemah lembut, say sorry and thanks selalu. Sebab apa? Mereka ni ahli keluarga kita yang akan ada di saat susah dan senang kita. Bukan ke kalau ikut keutamaan, mereka ahli keluarga yang paling utama perlu kita utamakan?

Hati. sebab kita rasa keluarga ni akan ada selalu dengan kita, jadi tak perlu nak cakap elok-elok, jaga hati mereka. Hati-hati, kata hatiku...

Duhai ahli keluargaku, mohon maaf andai tersalah bicara, terkurang rasa, terlebih kata...sungguh, aku sayanggggg kamu walau tidak pernah diungkapkan.

;) Senyum. Terima kasih keluarga. Hati keluarga, hati-hati...

Monday, March 7, 2016

Kisah Dongeng Si Cengeng

Usai menonton Mentor Millenia, si cengeng (baca: gembeng, kuat menangis) terfikir sesuatu. Melihat kemenangan, melihat air mata yang tumpah saat pengumuman pemenang dibuat, saat ibubapa si pemenang juga menangis, lantas air mata si cengeng juga mengalir jatuh perlahan. Mengapa? Apa yang ingin ditangisi? Bukankah ia air mata kemenangan?

Si cengeng pernah menemani rakannya di saat detik pernikahan. Usai sahaja Tok Kadi dan saksi-saksi mengucapkan "Sah...!!!" mengalir deras air mata si isteri. Mengapa? Bukankah ia air mata kegembiraan?

Acapkali menonton wayang, tidak kiralah elemen sedih, gembira, ketawa, suka, duka pasti akan ada detik sebak di hati si cengeng hatta menonton wayang kartun sekalipun. Mengapakah? Terlebih emosi atau terlebih menjiwai? Kenapa sedih duka kita menangis? Kenapa gembira tersuka kita menangis juga? Adakah itu sandiwara atau mengada-ada?

Mudah...bahagia dan derita itu terpisah dek satu garisan halus sebagai pemisah. Sebagaimana sedihnya seseorang itu menangis kemudian tertawa, begitu jugalah sebaliknya. Kerana apa? Garisan itu kita jua yang memilihnya. Pilihan kita untuk mengusir atau membiarkan sahaja garis pemisah derita dan bahagia itu...

You can choose, Smile :(; its your choice.

;) Sekian, coretan usang si cengeng dengan kisah dongengnya. ;)


Wednesday, December 30, 2015

Macam Drama, Kan?

Salam. ;)

Wink wink. Hari ni entah apa pasal, rajin pulak kemas belog. (baca: update)

Pernah tak kita terjumpa situasi yang terjadi dalam hidup kita (mahupun orang lain), dan kita akan cakap, "Macam dramaaa, kan?"

Antara babak 2015, yang sempat aku terjemahkan dalam perkataan daripada kotak fikiran dan ingatanku:

Drama 2015

Babak 1

Kawan1: Yan, kita (baca: kita merangkap kata nama dirinya) angkut housemate kita pergi pantai. Kita tulis semua kisah kita dengan that guy (baca: lelaki yang hanya tinggal kenangan eX eX eX), lepas tu, kita bakar kertas tulisan tu dekat tepi pantai.

Aku: Hahhh??? Berapa jauh rumah dengan pantai tu?

Kawan1: Dekat 1 jam setengah.

Aku: Housemate tu ok pulak, temankan p jalan jauh-jauh?

Kawan1: Dia dah bosan dengar kita nanges. Kita kata, temankan kita pergi pantai, lepas tu kita janji tak nanges lagi dah.

Aku: Mana dapat mancis nak bakar kertas tu?

Kawan1: Pergi beli singgah dekat Kedai Mesra Petronas.

Aku: Ya Allah. Kisah tu tulis??? Panjang ke tulisan tu?

Kawan1: Ada dekat 6 muka surat. Kejap kita cari kat 'gallery', kot kot ada simpan lagi.

Aku: *Setelah beberapa minit berlalu* Ya Allah, (T_T)  (T_T)  (T_T) Kenapa sedihhhhh sangat perjalanan cinta A*** dengan that guy??? Menangisssss yan baca kertas tulisan yang dah kena bakar tuuuuuuu...tsk tsk tsk

Macam drama takkkk? Oh sahabatku yang dikasihi, didoakan semoga Allah hantar lelaki yang lebih baik yang dapat saling lengkap melengkapi untuk dirimu dan bahagia rumahtangga A*** hingga ke syurga. Ameen Ya Rabb.

Babak 2

Malam tu ada satu emel personal masuk dalam Gmail (selalu emel kerja/rasmi).

"Assalamualaikum, yan. Ni A*** (walaupun dah di censored kan, nama awalan seakan sama dengan babak 1 di atas, tapi hakikatnya adalah berlainan orang)
I miss u...but i didnt hv ur no..pls contact me."

Kebetulan masa tu aku bercuti di Kedah, masa pergi jenjalan di Ladang Anggur, ada signboard tulis "ALOR SETAR (kanan) BALING (kiri)". Kawan aku si A*** memang orang Baling, Kedah. Terus teringat dekat dia bila nampak signboard tu, malam tu dia terus emel. Ajaib kan? Drama kan? Allah tahu masing-masing saling merindu. *nyanyi sket lagu Terlalu Rinduuuuuuu, Jujur aku terlalu rinduuu, tiada lain selain rinduuuu* 

Aku pun whatsapp la A*** ni, waktu tu 5.30 pagi sebab malam tu dah tertidur masa dia hantar emel, sempat balas dan hantar whatsapp.

Dia pun balas.

Aku: Betul ke ni A***. Kenapa gambar profile kosong? Cuba buktikan.

Kawan2: Betul laaaa. *sending gambar sendiri*

Aku: *Ok verified.*

Kawan2: Aku sebenaqnya rindu kat hang. Tapi nombor fon semua hilang. Tak tahu cari mana. Tu yang guna google, jumpa hang punya emel.

Aku: Amboiiii. Berapa belas kali tukaq fon ni sampai nombor kawan hilang niii? hahaha

Kawan2: Aku baca belog hang, terbaca yang post ayah hang dah tak de. Bila?

Aku: Oh, lama dah. Awal tahun 2014. Sakit jantung. Hang sihat dak A***? Mak Pak hang sehat?

Kawan2: Alhamdulillah. Yan aku baru lepas accident hari tu. Ni baru nak baik. Eh jap, dah masuk waktu Subuh. Kang sambung.

****
Kawan2: Yan, aku eksiden dengan kereta lain. Kereta aku total lost.

Aku: Ya Allah. Sekarang ni hang kat mana?

Dari whatsapp terus call...

Kawan2: Aku Ok. Alhamdulillah. Kaki aku lutut pecah belah kiri. Sekarang ni dah boleh bengkokkan kaki sket hampir 40darjah. Tolong doakan bagi boleh jalan dan bengkok dengan sempurna.

Aku: InsyaaALLAH. Didoakan A*** cepat sembuh dan boleh berjalan dan berlari dengan sempurna dengan cepat. Ameen Ya Rabb.

Kawan2: Yan. Aku sambung master. Buat part time. Dalam bidang kaunseling. Baru sem 1.

Aku: Haaaaa? Daripada komputer terus masuk kaunseling? Apa yang menyebabkan tercetusnya idea hang nak sambung dalam kaunseling? Cuba cerita sket.

Kawan2: Macam nihhhh. Aku pernah terbaca satu artikel ni, ada satu kos dekat universiti tapi dekat oversea la, "How to survive from a lost..."

Aku: ...survive form a lost of your love life???

Kawan2: Haaaa. macam mana hang tahu niiii?

Aku: Hahhahaha Hang niii A***. (Ingat aku baru kenai hang sehari dua kaaa?)

Kawan2: Hang mesti terkejut kan?

Aku: Terkejut sebab lari bidang...tapi Tahniah A***, sebab hang berjaya convert something yang negative to something positive. which is... baguih laaaaa kannnn.

***********Macam Dramaaaa, kannnn?

Sebenaq nya, (tetiba tukaq slang Kedah) ada panjang lagi perbualan, dan perbualan ni aku telah tukaq sket sket supaya menjaga privacy dan empunya nama. Ehehe Kalau macam masak nasi goreng tu, letak Ajinomoto penambah perasa gituuuuu. tapi takde la aku tambah lebih lebih, kang sakit pulakkkkk. Cerita kalau tokok tambah lebih-lebih, nanti akan jadi drama swasta sangat! :)

Kita kan rasa kalau tengok drama tv tu, macam "iskkkk....pembohong betul la drama ni. over...in a real life, mana ada camnih..."

Walhal, drama tu sebenarnya dicedok daripada situasi sebenar, cuma mungkin kengkadang terlebih cedok ajinomoto, bergantung pada pencerita laaaa kan. :)

Pokok pangkalnya, ada banyak lagi babak, tapi yang paling 'recent' adalah 2 babak nih. Kalau aku ingat lagi, aku cuba coretkan lagi. Dalam kes kawan aku berdua ni, aku yakin dan percaya, Allah akan ganti dengan lebih baik terhadap apa yang berlaku pada depa. Aku doakan keluarga, guru-guru, anak didik dan kawan-kawan aku semua selalu di bawah lindungan dan limpah rahmat kurnia Ilahi. Sihat sejahtera hendakNya.


Ameen Ya Rabb.

"Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti." (Al-Hujurat: 13)

Sekian, wassalam.

Okbye 2015, ohHye 2016!

Assalamualaikum. Tak jawab dosaaaa! :)

This picture can pretty much sum up my 2015 year in review. 

Januari 2015- Ada pergi Konferensi dekat Phuket/Cape Panwa. Rinduuu pulak. Naik motorsikal dengan Kak R, tragedi parang di tengah jalan. Huwaaaaaaa. Fikir-fikir balik, kelakar pun ada, seram pun ada. :) Alhamdulillah semua selamat. Sesungguhnya Allah Maha Pelindung.

Januari - Feb (6 minggu) - Pertama kali masuk JomKurus. Met new friends, ilmu baru, pengalaman baru. Naik bukit Broga, Street Fight, Aqualogic, Dodgeball etc. Manage to loose 6 kg, tapi lepas tuuu hahhaha marilah berhuhuhu. 

Tak ikut urutan dah ikut dan mana ingat, 2015 jugak pi jalan Melaka, pi Skudai jumpa Shirin dan Eiliyah (new name for W*** after she converted to Islam). Jadi Fasi di Machang, jumpa Emaaaarukoooooo dengan anak-anaknyaaaa. What a great meeting after all those year yang tak jumpaaaa lamaaa. Pergi jalan-jalan Perlis rumah A***, Padang Besar, lepas tu ke Penang tidur tempat best yang diperkenalkan oleh V**, balik tu singgah Perak sekejap melayan Hakak Z*** bergambar. Oh siap pergi naik kereta Kak L** lagi. Recently pergi Kedah umah akak. Hajat di hati nak pergi Thailand, tapi apakan daya, ke Petrosains sahaja. hahaha Padang Besar lagi dengan tomyam sotong yang kawkaw sedap mengalahkan Black Canyon. Pulut mangga. Pergi Ladang Anggur Tasik Beris, Sik. Tunggu anggur kemain lama tapi berbaloi baloi. Makan sambal belacan kawkaw makcik buat special letak ikan bilis. Aktiviti masak memasak bersama-sama adik beradik yang lama dah tak buat. hahaha Pastu ke Muzium Padi dan Petrosains. Dengan anak-anak buah yang makin membesar, seronok sangat pengalaman nih. Penghujung 2015 jugak bersengkang mata membuat proposal, membalas emel potential supervisor, hantar permohonan biasiswa tapi Allah Maha Mengetahui. Mungkin bukan rezeki kali ni, cuba lagi tahun hadapan kkk! :)

ALHAMDULILLAH. I've learnt so many things from all these memories. I'm blessed with family, friends, students and all the NIKMAT, UJIAN yang Allah bagi. I'm looking forward for 2016. 

Okbye 2015, ohHye 2016!

Moga kita semua dikurniakan umur yang panjang dalam keberkatan, rezeki yang berkat, kesihatan yang bermanfaat, dan juga limpahan kurnia dan nikmat daripada Allah SWT. Ameen Ya Rabb. Syukur atas segala nikmatMu.

Till then, Wassalam.

Saturday, September 5, 2015

Jodoh Pertemuan


Happy Weekend chuols! ;)

Somehow I personally feel amused by reading the phrase in the above picture.

Minggu lepas, terjumpa seorang pakcik nih masa tengah tunggu kereta dicuci di kedai. Aku kenal pakcik nih sebab dia meniaga dalam uni tuh. Dia kata lama dah tak nampak aku datang kedai makan dia.

Lepas tu, perbualan semakin rancak. Isu anak dia yang semua perempuan, isu anak dia nak sambung belajar, yang besar umur 25 tahun lepas diploma terus tak mahu sambung belajar (sebab dah syiokkk pegang duit). *Penatnya tulis panjang-panjang kena baca satu nafass!*

Pakcik: Umur kau berapa dah nak? 30 ada x?

Aku: Senyum. Mengangguk dalam tak angguk. *2 tahun tua pakcik nih teka umur iols kannn*

Pakcik: Belum kahwin?

Aku: *Geleng geleng kepala. *

Pakcik: Kat dalam uni kan banyak lelaki.

Aku: *Ketawa kecik* Mana ada acik...semua dah berpunya.

Pakcik: Eh... siapa tu...Si A* kan ada. Naik kereta besar. Orang N9.

Aku: Iskkk acik nih. *Senyum malu. Macammana senyum malu tuh? haha*

Pakcik: Yela...tapi dia badan besar sikit.

Aku: saya dengar orang cerita dia baikkkk.

Pakcik: Acik tanya dia, kenapa tak kahwin lagi. Si A* kata tak ada orang nak.

Aku: *Oh no. How awkward is this coversation?*

Pakcik: Acik nak kenenkan kau dengan anak buah acik pun susah. Budak muda sekarang nih kita tak tahu apa yang dia nak. Baik diorang carik sendiri. Senang.

Aku: Betul tu acik. Susah, nak kenen-kenenkan orang nih. ;)

Pakcik: Nih apa nih. *dengan gaya eksaited* Kalau kau lepas solat tuh, ada satu ayat nih. Kau baca. Lepas tuh, nak keluar rumah pun kau baca jugak. Mana tahu, kau keluar rumah tuh, ada yang sangkut.

Aku: *Senyum.* tiba-tiba ingat lagu Senyum, tak perlu kata apa-apa.

Pakcik: Eh. Kawan ada dah ke? Boyfriend?

Aku: ;)

Pakcik: Kawan tu tak berani suruh dia datang-datang rumah masuk merisik?

Aku: ;) Senyum. Somehow i found that acik nih sangat lah kelakar. Gaya makcik-makcik sangat. hahaha

Pakcik: Sekarang nih paling tidak hantaran 10k, tapi 10k bukan boleh beli apa sangat. 15k baru cukup lah acik rasa.

Aku: Senyum lagi. Iyalah acik. Makanan pun mahal sekarang nih. Nak bagi orang makan buat kenduri lagi.

Orang Kedai: Dik, siap dah kereta.

Aku: Oh ok. Acik, gerak dulu ya. InsyaaAllah jumpa lagi nanti. ;)

Panjang sungguh rasanya berbual dengan pakcik nih. Dia cuba nak korek berapa banyak gaji aku, cuba korek berapa aku bayar untuk kereta myVi tu. Oh. Takkan saya nak bagitahu acik. Hehe Kereta tu dah habis bayar.

Aku tahu setiap orang yang kita jumpa setiap hari telah ditakdirkan begitu. Mesti ada sebab kenapa kita dipertemukan dengan orang tu pada masa tu.

Haaa gituuuu. Acik nih semua anak dia perempuan. Dia bangga dengan ketiga-tiga anaknya. Dia bapa yang baik dan memikirkan hal anak-anaknya. Somehow it reminds me of arwah abah. Tetiba sayu dan syahdu pulak nih apa ceritaaaa. ;)

Ok lah. Kesimpulannya, iols tak kisah acik nih dok tanya pasal jodoh ke, pasal duit ke, gaya hidup ke. Sebab...iols rasa pakcik nih means no harm. Dia sekadar cuba menyampaikan rasa dan pendapat. Betullah tuh. Umur makin tambah, patut bersedia nak berumahtangga. Haha

Iols rasa dewasa (baca: matang) sangat bila taip entry nih. Hakhakhak.

Kbye. Sekian coretan untuk ingatan masa hadapan.

Wassalam.

Friday, September 4, 2015

Ketayap dan Lopes

Salam Jumaat penuh berkah, 

Hari nih terpanggil untuk menulis (baca: menaip). Rindu. 

Pernah tak makan kuih Ketayap dengan Kuih Lopes? *gambar bawah, ikhsan daripada iResepi.com*

Kuih Ketayap

 
Kuih Lopes


Entah kenapa, masa pergi kedai sarapan pagi tadi, bila nampak dua kuih nih, macam ada satu perasaan terbit dalam hati. Perasaan yang susah nak bagitahu apa nama perasaan tu. :)

Kuih yang warna hijau nih, dua-dua mengingatkan aku pada seseorang. Should I say, "2 orang"? 

Arwah mak dan arwah abah.
 
Arwah Mak & Kuih Lopes
 Zaman aku kecik dulu-dulu, arwah mak berguru dengan somebody yang aku lupa siapa, cara nak buat kuih lopes nih. Sejak arwah mak berguru membuat kuih lopes, memang aku sukaaaaaaaa sangat dengan kuih nih. Aku akan mintak arwah mak buat lagi dan lagi. *Gila demand*

Semua orang kata mak dia adalah tukang masak paling hebat. Iols pun tak terkecuali. Arwah Mak buat kuih lopes memang kebabooom bom bom. Btw, kuih lopes yang arwah mak buat tu bentuk dia segitiga. :)

Arwah Abah & Kuih Ketayap
Arwah abah sangat suka makan kuih ketayap. Setiap pagi, lepas arwah abah balik daripada kedai kopi, dia mesti bungkuskan nasi lemak ke, roti canai ke, kuih ke, untuk anak-anak dia yang kat rumah kelaparan. Selalunya, mesti tak pernah 'miss' beli kuih ketayap nih. Aku sebenarnya tak berapa suka kuih ketayap nih, sebab kalau orang buat tuh jenis pemanis dan tak lokek gula, manisssssss sungguh rasanya. Tapi kengkadang, by looking at Kuih Ketayap nih, hadir satu rasa manissss dalam hati bak gula-gula. Teringat arwah abah. Teringat arwah mak. Rasanya manis seperti manisnya kuih ketayap dan kuih lopes.

Al-Fatihah.




Thursday, August 20, 2015

Yang Mana Satu?

Assalamualaikum. ;)

Tiba-tiba teringat, pernah satu hari, Jamuan Hari Raya dekat Uni, geng hakak senior *umur 40-50s ke atas* dok bergelak-gelak tengok gambar yang digantung dekat booth sebagai hiasan.

Geng hakak-hakak kawasan yang umur 25-33 nih gelak-gelak perhati gelagat geng hakak senior tadi.


Tak sedar siapa yang keluarkan soalan,
"Ko rasa nanti ko dah tua-tua, ko macam tuh tak?"

"Kannnn. Ko rasa antara hakak-hakak nih, ko yang mana satu?"

"Hmmm...aku Hakak A la. Senyum baikkk je, lembut."

"Perasannnnnn. hahahah"

Impian memasing nak jadi lembut sopan santun bak wanita melayu terakhir, tapi perangai memasing gelak tak hengatttt. ;)

"Ko rasa nanti sapa pelapis Hakak M? Hakak N?"

*tengok muka masing-masing cari calon sesuai.*

Mungkin. Jadi idola adik-adik sebab benda baik, kan elok tuuuu.

Persoalannya, "Yang Mana Satu?"

InsyaaAllah. Versi diri sendiri yang lebih 1000 kali baik daripada umur sekarang nih. ;)


Sunday, April 26, 2015

Tanggapan.

Lepas syiok membeli belah di Melaka, tengok dekat wiper kereta ada surat 'Chenta' dari Majlis.

Oh maiii. Oleh kerana aku ambik cuti pada hari tu, aku lupa sangat hari tu hari Isnin.

Aku toleh belakang, ada seorang pegawai sedang dalam proses nak bagi surat "chenta" dekat kereta belakang aku.

Cepat-cepat aku kejar pegawai tu.

"Assalamualaikum Encik. Mintak maaf. Saya nak tanya, bayar saman ni dekat mana ya? Boleh bayar online x?"

"Tak boleh bayar online la kak. Patutnya dalam Melaka Sentral tu boleh bayar, tapi ni dah lepas pukul 5, dia dah tutup."

"Alamak. Camne ya, Encik? Saya bukan orang sini. Ni saya nak balik Nismilan. Bayar dekat Encik, tak boleh?"

"Saya tak ada resit. Tapi kalau esok pagi, saya boleh bayarkan. Akak bagi saya RM10, tinggalkan no telefon, nanti saya whatsapp gambar resit kat akak." Pegawai tu hulurkan resit untuk diisi oleh aku.

"Akak isikan nama dengan no telefon. Akak ada whatsapp kan?" Aku angguk sambil masuk ke dalam kereta tercari-cari pen.

Sesudah isi nama dan no.telefon, aku bagi resit tu kembali pada pegawai tu.

"Ok kak. Nama akak sapa?" sambil matanya melirik pada kertas yang aku pulangkan pada dia tadi.

"Haaa? Azman?"

"Eh bukan. Azyan." (T_T)

Teruk sangat ke tulisan aku? Sampai terkejut pegawai tu. Yelah, tengok aku perempuan, tapi nama Azman, nama lelaki. Sobs sobs sobs.

Nombor dua, aku dipanggilnya akak? Ok la dik. Fine.  Haha

"Terima kasih ya Encik. Tak payah whatsapp akak la. Akak percaya je dekat adik. Terima kasih banyak-banyak ye. Nama encik sapa?"

"Fariz."

"Terima kasih En. Fariz."

Alhamdulillah. Harapnya adik pegawai tu dah bayarkan la bil saman aku tu. Sebab sampai sekarang memang tak ada terima resit whatsapp daripada adik tu. ;)

Bagus adik ni. Mengikut pesanan. "Akak percaya je kat adik. Tak payah la whatsapp ek."

Kata adik pegawai tu, kalau bayar dalam masa seminggu daripada tarikh disaman, harga jadi kurang, RM10. Kalau tak, RM30.

Sekian saja coretan petang tatkala hujan ni. Tanggapan orang pertama kali, kadang tak sama kalau kita fikir dua tiga kali. Macam tengok tulisan orang, tengok sekali macam Azman, tengok lagi dua tiga kali, barulah betul seperti ditulis dan dikata. hahaha Gituuuuuuu.

Till then, Assalamualaikum! ;)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...